KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mengakui tidak berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya ketika beraksi menentang Perak FC pada saingan Piala FA di laman sendiri malam tadi.


Ringkasan AI
  • Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya ketika menentang Perak FC dalam perlawanan Piala FA malam tadi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
  • TFC berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA dengan menang 2-1 ke atas Perak FC, walaupun Steinbruckner mengkritik mutu permainan anak buahnya terutama pada babak kedua.
  • Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, meskipun kecewa dengan kekalahan, berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang tidak mudah dikalahkan oleh TFC, dan berfokus untuk perlawanan seterusnya dalam Liga Super.


Walaupun berjaya melangkah ke peringkat suku akhir, Steinbruckner berkata beliau tetap kecewa dengan mutu permainan dipamerkan pemainnya, terutama pada babak kedua.

Beliau berkata anak buahnya juga gagal memanfaatkan peluang untuk mencipta lebih banyak jaringan, pada ketika Perak FC beraksi dengan 10 orang, selepas pemain pertahanannya Muhammad Firdaus Saiyadi dilayangkan kad merah oleh pengadil.

"30 minit pertama, kami gagal hasilkan sebarang sepakan ke arah gol. Selepas penalti baru kami bermain dengan lebih baik. Kami cipta banyak peluang untuk jaringkan lagi gol pada separuh masa kedua selepas kad merah itu, namun gagal jaringkan gol.

"Saya tidak berpuas hati, kerana kemenangan itu penting bagi layak ke pusingan berikutnya. Kami berjaya layak, namun saya harapkan prestasi lebih baik dari pemain saya," katanya selepas perlawanan Piala FA menentang Perak FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Skuad Penyu berjaya ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menang tipis 2-1 ke atas skuad The Bos Gaurus, hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid dan Marin Pilj.

Sementara itu pengendali Perak FC Yusri Che Lah berkata walaupun tewas, beliau tetap berpuas hati kerana anak buahnya tidak memberi laluan mudah untuk TFC memenangi perlawanan tersebut.

Beliau berkata pemainnya tidak perlu berasa malu, kerana telah memberi persembahan terbaik ketika berdepan skuad Penyu yang merupakan antara pasukan terkuat di Liga Malaysia.

"Walaupun selepas menerima layangan kad merah, pemain kita tidak mengalah...tetap berada dalam permainan dan mencari gol penyamaan.

"Tetapi nasib tidak menyebelahi dan selepas ini kita akan fokus kepada perlawanan dalam Liga Super minggu hadapan," katanya.

-- BERNAMA