Pengumuman itu sekali gus menamatkan khabar angin bahawa Sang Penyu akan mengikat penyerang kelahiran Croatia, Anton Maglica seperti yang tular di laman sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas berkata Bonilla yang berasal dari San Salvador, El Salvador mengikat kontrak selama lapan bulan berkuat kuasa 1 Sept 2024 hingga April 2025.
Beliau berkata pemain berusia 34 tahun itu yang juga kapten pasukan kebangsaan El Salvador pernah berkelana selama enam tahun di Liga Thailand dengan penampilan kali terakhir bersama kelab Sukhothai FC pada 2023.
"Kehadiran Bonilla bagi menggantikan Ivan Mamut yang masih tidak dapat beraksi disebabkan kecederaan serius dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan ketiga di Croatia.
"Bonilla telah beraksi di peringkat antarabangsa sejak berusia 21 tahun. Di Liga Thailand, beliau telah membuat 130 penampilan dengan meledak 65 gol," katanya selepas pengumuman penyerang baharu TFC pada perlawanan ACC Piala Shopee 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini semalam.
Dalam pada itu, ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner berkata Bonilla mempunyai ciri penyerang yang cemerlang dan sesuai dengan corak kejurulatihannya.
Justeru, beliau berkata kehadiran pemain berketinggian 1.79 meter itu diharap dapat menajamkan jentera serangan skuad Penyu yang disifatkannya masih bermasalah.
-- BERNAMA