KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mengakui kecewa kerana misi pasukan untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian selepas sekadar seri 1-1 berdepan Sri Pahang FC, malam tadi.

Apatah lagi gol penyamaan tersebut dijaringkan pada minit terakhir sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil.

Namun begitu, Steinbruckner enggan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pemain yang dilihat telah memberi 100 peratus komitmen dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

"Kami sepatutnya memperoleh tiga mata, tetapi akibat beberapa kesilapan, kami kehilangan mata tersebut. Agak kecewa kerana Pahang menjaringkan gol pada saat-saat akhir.

"Namun, melihat kepada semua perlawanan, saya tidak boleh banyak mengeluh tentang pemain saya kerana mereka sentiasa memberikan komitmen 100 peratus," katanya selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Gol skuad Penyu dihasilkan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-45 manakala gol Sri Pahang dijaringkan Stefano Brundo pada minit ke-93.

Selepas lapan perlawanan, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan 15 mata, manakala skuad Tok Gajah naik satu anak tangga ke kedudukan kesembilan selepas mengumpul tujuh mata.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Pahang Fandi Ahmad berkata beliau berpuas hati kerana anak buahnya berjaya menamatkan kemarau kekalahan dengan mencuri satu mata daripada Terengganu.

Fandi berkata beliau amat berbangga kerana pasukannya telah mempamer peningkatan dalam setiap permainan, namun tuah kemenangan belum menyebelahi mereka.

"Empat perlawanan terakhir ini, kita kurang beruntung walaupun telah bermain dengan baik. Tetapi hari ini saya puas hati kerana dapat bawa balik satu mata bermain dengan pasukan lebih baik.

"Walaupun mereka mendominasi perlawanan, sebenarnya kita peroleh lebih peluang. Penyudah kurang baik membantutkan kemenangan," katanya.

-- BERNAMA