Penyokong kedua-dua pasukan yang duduk tanpa sempadan dilihat tenang sepanjang perlawanan, namun ia bertukar buruk sejurus selepas wisel penamat dibunyikan.

Punca insiden gagal dikenalpasti namun, salah seorang penyokong pelawat kelihatan berdarah di bahagian kepala dipercayai terkena objek keras.

Bagaimanapun, ia tidak berlarutan selepas pegawai keselamatan berjaya mengawal keadaan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia tumpas kepada Vietnam 1-2 dan perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di laman Facebooknya telah menyuarakan kekecewaannya sejurus selepas beliau menonton perlawanan tersebut di Stadium Shah Alam, malam tadi.

“Apa yang lebih mengecewakan saya malam tadi bukan kekalahan kita atas padang tetapi tindakan segelintir penyokong Malaysia terhadap penyokong Vietnam.”

Stadium Shah Alam
Insiden tersebut dipercayai berlaku selepas wisel penamat dibunyikan - Sumber Foto Facebook Khairy Jamaluddin
Menurut Khairy, beliau masih menunggu laporan rasmi dari pihak polis dan FAM, berdasarkan maklumat yang diterima dan apa yang disaksikannya di mana para penyokong Vietnam diserang oleh segelintir‘fans’ Malaysia di Stadium Shah Alam semasa perlawanan separuh akhir pertama malam tadi.

“Tiada alasan bagi tindakan ganas tersebut. Lebih-lebih lagi terhadap tetamu dalam negara kita. Apakah ini cara kita layan tetamu? Tak kiralah mereka datang melancong ke memang dah kerja sini ke, ini bukan budaya Malaysia.”

“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini tak terfikir pula apa boleh jadi pada penyokong kita yang akan pergi ke Hanoi, Vietnam untuk perlawanan kedua. Bukankah tindakan mereka ini boleh dianggap sebagai satu provokasi dan mengundang risiko keselamatan terhadap penyokong-penyokong Malaysia di Hanoi nanti?”

Khairy turut memohon maaf kepada penyokong Vietnam yang diserang di Stadium Shah Alam.

AFF Suzuki Cup 2014
Salah seorang penyokong pelawat kelihatan berdarah selepas dibaling objek keras. - Sumber foto Facebook Khairy Jamaluddin
“Saya akan minta kerjasama polis untuk siasat kes ini dengan segera dan bertindak atas siasatan tersebut. Tindakan ganas segelintir fans Malaysia ini tidak mewakili rakyat Malaysia yang sebenar.

These violent fans do not represent Malaysia. My sincere apologies on behalf of Malaysia for the actions of these irresponsible thugs. We hope for a great second leg in Hanoi, competitive on the field and friendly in the stands.