Polis mengarahkan pasukan Manchester United membatalkan perlawanan terakhir pasukan itu dalam Liga Perdana menentang Bournemouth pada Ahad susulan penemuan bungkusan yang diragui kandungannya di Old Trafford.

“Perlawanan telah dibatalkan, peminat sedang meninggalkan lokasi. Tolong elak berada di kawasan ini jika boleh,” kata polis Manchester di akaun Twitternya.

Puluhan ribu peminat diarah mengosongkan tempat duduk di stadium yang berkapasiti 75,600 penonton itu apabila amaran dikeluarkan kira-kira 20 minit sebelum sepak mula pada jam 1400 GMT.

United mengesahkan sebuah bungkusan telah dijumpai dan menghantar tweet menyatakan perlawanan telah “dibatalkan.”

Pengumuman dibuat melalui sistem siar raya di mana pegawai keselamatan diminta melancarkan “Operasi Kod Merah.”

Separuh tempat duduk di Old Trafford dikosongkan dan United kemudian mengesahkan sebuah bungkusan telah dijumpai di tempat duduk Stretford End.