JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan gagal meraih kemenangan pertama selepas ditewaskan New Zealand 2-3 pada aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, di sini pada Sabtu.

Pada pertembungan malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang untuk memburu jaringan sebelum New Zealand terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jonty Elmes.

Ketinggalan satu gol, Malaysia mula mengasak kubu pertahanan skuad diberi jolokan Black Sticks itu sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke 16 suku kedua, hasil pukulan sudut penalti Harris Osman.

Bersambung suku ketiga, kedua-dua pasukan dilihat melancarkan serangan bertali arus bagi menggandakan jaringan, namun gagal menemukan penyudah.

Bagaimanapun, New Zealand bangkit untuk menggandakan jaringan menerusi pukulan penalti strok oleh Elmes.

Tidak menunggu lama, Young Tigers melancarkan serangan dan menyamakan kedudukan hasil jaringan gol padang oleh Adam Ashraf pada minit ke-55.

Namun kegembiraan skuad remaja kebangsaan untuk mengikat pasukan Black Sticks musnah, selepas gol padang Gus Nelson merobek gawang seminit kemudian dan keputusan kekal 2-3 sehingga tiupan wisel penamat.

Terdahulu, perlawanan petang Sabtu menyaksikan India menewaskan Jepun 4-2 manakala Great Britain menewaskan Australia 3-1.

Hari ini, Malaysia dijadual berdepan Jepun manakala India bertemu Great Britain sementara Australia menentang New Zealand.

Kejohanan bawah 21 tahun itu berlangsung sehingga 26 Okt ini dengan enam negara berentap bagi merebut piala kejuaraan edisi ke -12.

-- BERNAMA