JOHOR BAHRU: Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 sekadar di tempat ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 pada perlawanan penentuan kedudukan di Stadium Hoki Taman Daya, di sini semalam.

Skuad Young Tigers hanya mencatatkan satu kemenangan sulung pada pertandingan bawah 21 tahun itu selepas tewas dalam empat perlawanan sepanjang kejohanan yang disertai lapan negara berlangsung sejak 27 Okt lepas.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan itu, skuad Afrika Selatan bermula garang apabila merobek gawang tuan rumah seawal minit ke-10 menerusi gol padang oleh Viwe Mbata.

Tidak menunggu lama, Young Tigers yang membuat asakan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar.

Anak didik Muhammad Amin Rahim cuba untuk meletakkan pasukan di kedudukan selesa, namun gagal memanfaatkan tiga peluang pukulan sudut penalti pada suku kedua.

Suku ketiga pula menyaksikan Malaysia menggandakan jaringan dengan gol padang Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit ke-32.

Skuad Guy Elliot bagaimanapun berjaya menyamai kedudukan dengan gol padang oleh Le Forestier Cameron pada minit ke-49.

Berbaki empat minit terakhir, Young Tigers melakukan serangan sebelum meledak gawang pelawat pada minit ke-56 hasil gol padang Mughni Mohamad Kamal dan keputusan kekal 3-2 sehingga tiupan wisel penamat.

Pada edisi tahun lepaas, Young Tigers menduduki tempat terakhir an kali terakhir muncul juara adalah pada edisi pertama SOJC 2012.

Sementara itu, Muhammad Amin pada sidang media berkata pemain harus memperbaiki kelemahan secepat mungkin sebelum menghadapi Piala Dunia Remaja (JWC) di Kuala Lumpur, bulan depan.

Beliau berkata walaupun tewas empat perlawanan, kemenangan ke atas Afrika Selatan memberi lebih keyakinan buat pemain untuk menghadapi JWC.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, SOJC merupakan fasa terakhir untuk persiapan dan hanya berbaki beberapa minggu sebelum hadapi JWC.

"Kita kena terima hakikat masih banyak ruang yang perlu ditambah baik, justeru kita akan buat 'post mortem' sebaik pulang nanti. Kita akan kaji kelemahan dan perbaiki secepat mungkin sebab masa sudah suntuk," katanya.

JWC 2023 akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 5 hingga 16 Dis ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A dengan Argentina, Australia dan Chile.

-- BERNAMA