Pemain skuasy wanita nombor dua negara, Delia Arnold tersingkir daripada Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat 2015 yang berlangsung di Philadephia.

Delia selaku pilihan ke-11 kejohanan kalah 4-11, 6-11 dan 4-11 kepada pilihan ketiga dan pemain nombor empat dunia, Camille Serme dari Perancis di pusingan kedua pada Selasa, menurut laman web kejohanan www.usopensquash.com.

Delia sebelum ini melangkah ke pusingan kedua setelah mengalahkan Nicolette Fernandes dari Guyana di pusingan pembukaan pada Ahad.

Dengan kekalahan itu, kini hanya tinggal ratu skuasy negara dan pemain nombor dua dunia Datuk Nicol David yang bakal meneruskan cabaran Malaysia.

Nicol yang juga juara bertahan akan bertemu juara remaja dunia dan pilihan ke-12 kejohanan, Nouran Gohar dari Mesir di pusingan kedua pada Selasa.

Penyertaan pemain lelaki negara, Mohd Nafiizwan Adnan berakhir pada Isnin selepas tewas 9-11, 3-11, 7-11 kepada pilihan kelima dan bekas juara dunia tiga kali Ramy Ashour dari Mesir di pusingan pembukaan.