BRIGHTON 0-1 LIVERPOOL

LIVERPOOL bangkit kembali daripada kekalahan pertama dalam Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City dua minggu lepas dengan menewaskan Brighton & Hove Albion 1-0.

Mohamed Salah menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-50, selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang hambar dalam babak pertama.

Liverpool menguasai 70% permainan ke atas tuan rumah namun gagal menemui hantaran dan penyudah yang baik sepanjang permainan berlangsung.

Jaringan tersebut menyaksikan Salah kini berkongsi carta sebagai penjaring terbanyak EPL bersama Harry Kane (Tottenham Hotspur) dan Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal).



BURNLEY 2-1 FULHAM

Perlawanan lain menyaksikan Burnley mengatasi Fulham 2-1, walaupun gagal mencatat sebarang percubaan ke arah gawang.

Dua gol yang diperoleh Burnley adalah hasil daripada jaringan sendiri pemain pasukan lawan.

Burnley ketinggalan menerusi jaringan awal minit ke-2 Andre Schurrle, namun dua jaringan sendiri dalam tempoh tiga minit daripada Joe Bryan dan Denis Odoi memberikan kemenangan buat the Clarets.



CRYSTAL PALACE 1-2 WATFORD

Satu lagi jaringan sendiri dicatat dalam perlawanan Crystal Palace menentang Watford di Selhurst Park apabila cubaan mengeluarkan bola daripada Abdoulaye Doucoure terkena Craig Cathcart pada minit ke-38.

Cathcart menebus kekecewaan pasukan itu dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67 sebelum Tom Cleverly menjaringkan gol kemenangan Watford tujuh minit kemudian.




WEST HAM 1-0 ARSENAL

Saingan di Stadium London menyaksikan tuan rumah, West Ham menewaskan Arsenal 1-0.

Jaringan pemain berusia 19 tahun, Declan Rice pada awal babak kedua sudah memadai untuk Hammers menundukkan Arsenal.

Lebih menarik, Rice menyudahkan hantaran Samir Nasri, yang membuat penampilan pertama sejak menyertai West Ham minggu ini, selepas tempoh penggantungan enam bulan dari bola sepak tamat akibat gagal ujian doping.




LEICESTER CITY 1-2 SOUTHAMPTON

Perlawanan lain menyaksikan Southampton berjaya bertahan untuk menewaskan tuan rumah, Leicester City 2-1 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

James Ward-Prowse menjaringkan gol pertama untuk Southampton menerusi penalti sebelum mereka kehilangan pertahanan, Yan Valery yang dibuang padang pada minit ke-45.

Beraksi kurang seorang pemain tidak menghalang the Saints menggandakan jaringan menerusi Shane Long, dua minit dalam masa kecederaan babak pertama.

Wilfred Ndidi berjaya merapatkan kedudukan buat the Foxes pada minit ke-58 namun kedudukan kekal 2-1 di Stadium King Power sehingga tamat permainan.



CARDIFF CITY 0-0 HUDDERSFIELD TOWN

Kontroversi keputusan pengadil membayangi perlawanan Cardiff menentang Huddersfield, apabila pasukan pelawat dinafikan sepakan penalti pada lewat permainan.

Perlawanan tamat, tanpa jaringan menyaksikan Huddersfield terpaksa berpuas hati pulang dengan satu mata di tangga tercorot liga dengan 11 mata.



CHELSEA 2-1 NEWCASTLE UNITED

Perlawanan terakhir pada awal pagi Ahad menyaksikan Chelsea menewaskan Newcastle United 2-1.

Beraksi di tempat sendiri, Chelsea berada di depan seawal minit kesembilan, menerusi jaringan Pedro sebelum Ciaran Clark menyamakan kedudukan pada minit ke-40.

Gol daripada Willian pada minit ke-57 sudah memadai untuk Chelsea mengutip tiga mata penuh.

Kemenangan membolehkan Chelsea mengukuhkan kedudukan di tempat keempat dengan 47 mata, enam mata di hadapan Arsenal di tangga kelima.