INTER MIAMI 2 CRUZ AZUL 1

Lionel Messi memastikan kemenangan 2-1 Inter Miami ke atas Cruz Azul dalam penampilan sulungnya di Amerika Syarikat (AS) sebentar tadi.

Messi memukau penonton di Stadium DRV PNK, Florida, itu menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan untuk memacu kemenangan kelab barunya tersebut ketika membuka kempen Piala Liga.

Selepas sembilan minit ketua pasukan Argentina itu diperkenalkan ke dalam padang di samping bekas rakan sepasukan di Barcelona, Sergio Busquets, Miami menyerahkan pendahuluan mereka yang menyaksikan pemain sayap Cruz Azul, Uriel Antuna, menyamakan kedudukan pada minit ke-65 untuk mengikat perlawanan 1-1.

"Saya sedar perlu menjaringkan gol kerana ia merupakan minit-minit akhir permainan.


"Saya mahu menjaringkan gol supaya kami tidak perlu melalui penentuan sepakan penalti. 

"Ia sangat penting bagi kami untuk mendapatkan kemenangan ini, ini merupakan medan baru buat kami dan akan menyuntik keyakinan kami untuk bergerak ke hadapan," kata pemilik tujuh Ballon D'or itu.

Saingan Liga Bolasepak Utama (MLS) berehat sebulan untuk memberi laluan kepada kepada Piala Liga, sekali gus memberi ruang buat Inter Miami menghasilkan sesuatu untuk keluar dari tangga tercorot Persidangan Timur.