KUALA LUMPUR: Juara 33 kali, Selangor FC tidak berdepan masalah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas seri 2-2 menentang Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam tadi.

Skuad Gergasi Merah akan membuat perhitungan berdepan naib juara Liga Super musim ini, Terengganu FC yang turut mengesahkan tempat ke separuh akhir malam tadi dengan kejayaan menumbangkan penyandang juara, Kuala Lumpur (KL) City FC di halaman sendiri.

Pada aksi di Paroi, Selangor di bawah kendalian bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menunggu lama untuk merobek gawang pasukan tuan rumah menerusi Herlison Caion de Sousa Ferreira pada minit ke-10 selepas menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan.

Bagaimanapun, kesilapan pemain pertahanan Selangor Quentin Cheng menjatuhkan Mohamad Zamri Ramli mengundang padah apabila Negeri Sembilan berjaya menyamakan kedudukan selepas Matheus Alves menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25.

Menghampiri rehat, pemain import dari Jordan Yazan Al-Arab kembali meletakkan Selangor di depan pada minit ke-45 menerusi rembatan voli dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebelum Negeri Sembilan sekali lagi menyamakan kedudukan.

Jaringan penyamaan skuad bimbingan K Devan itu disumbangkan ketua pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang memanfaatkan hantaran Ahmad Khuzaimi Piee dalam keadaan kelam kabut di gawang Selangor pada masa kecederaan.

Bersambung babak kedua, Selangor memiliki beberapa peluang terbaik untuk meledak jaringan termasuk peluang keemasan Hein Ntet Aung dalam situasi satu lawan satu berdepan Ahmad Syihan pada penghujung babak permainan, namun diselamatkan penjaga gol kebangsaan itu.

Sementara itu, Terengganu mengatasi KL City 3-1 pada perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sekali gus mara ke pentas separuh akhir dengan agregat 4-1.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tendangan leret pemain kacukan Filipina-Jerman Manuel Ott pada minit ke-21, namun KL City yang tidak berputus asa berjaya menyamakan kedudukan hasil penyudah penyerang muda meningkat naik, Haqimi Azim Rosli pada minit ke-45.

Ott terlepas peluang meledak gol kedua peribadi pada minit ke-53 selepas percubaannya dari luar kotak penalti sedikit melewati palang tetapi kekecewaan itu ditebus ketua pasukan Kipre Tchetche apabila menyumbat gol kedua skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain pada minit ke-62.

Di penghujung perlawanan, giliran pemain import sensasi Kpah Sherman mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-89 sekali gus menceriakan lebih 25,000 penyokong setia Skuad Penyu yang hadir ke stadium.

Sebagai rekod, kali terakhir Selangor dan Terengganu bertembung di peringkat separuh akhir Piala Malaysia ialah pada edisi 2011 yang menyaksikan Terengganu mencatat keputusan agregat 4-1 dengan Abdul Manaf Mamat muncul wira pasukan apabila meledak tiga daripada empat gol pasukan.

-- BERNAMA