Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kehilangan Faisal yang terpaksa berehat panjang akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu sememangnya dirasai.
Menurutnya, Selangor amat menantikan kepulangan pemain sayap itu bersama skuad Gergasi Merah untuk memastikan serangan hadapan pasukan kembali tajam.
Semua pihak diminta untuk memberikan ruang dan privasi kepada pemain Selangor FC, Faisal Halim (gambar) untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihannya.
"Perkara ini (prestasi kurang memuaskan Selangor FC) berlaku tanpa Faisal Halim. Apabila beliau kembali mungkin dari segi keputusan akan berbeza daripada yang kita hadapi ketika ini.
"Faisal adalah penjaring gol terbanyak pemain tempatan tahun lepas, 12 gol dan 10 bantuan gol. Tetapi sudah tentu, perkara sebegini (insiden Faisal disimbah asid) tidak dijangka dan kita perlu laluinya.
"Namun, saya percaya pasukan akan dapat bangkit kembali. Sekarang ini kita cuba menambah baik prestasi pasukan dari semasa ke semasa," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pemain berusia 26 tahun itu masih dalam proses fisioterapi dan sudah menjalani latihan ringan di pusat latihan Selangor FC.
Selangor ketika ini berdepan prestasi kurang memuaskan berikutan prestasi hambar dalam beberapa perlawanan terakhir sehingga menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan penyokong.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian