PARIS: Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang malam tadi (awal pagi Isnin di Malaysia) selepas 19 hari aksi sukan bertaraf dunia sebelum menyerahkan baton kepada bandar tuan rumah 2028 - Los Angeles (LA28) di Amerika Syarikat.

Upcara penutupan semakin meriah apabila bintang Hollywood, Tom Cruise melakukan aksi mengagumkan dengan, melompat dari bumbung Stade de France diiringi dengan persembahan penyanyi Billie Eilish dan rapper Snoop Dogg yang mewakili tuan rumah seterusnya.


Paris 2024, yang secara rasmi bermula pada 26 Julai, menyaksikan kira-kira 10,500 atlet dari lebih 206 kontinjen bersaing dalam 329 acara daripada 32 jenis sukan di latar belakang mercu tanda kota Paris yang ikonik.


Temasya edisi ke-33 turut mencipta legasi baharu dengan 125 rekod Olimpik dan 32 rekod dunia dipecahkan sejak pertandingan bermula pada 24 Julai, dua hari sebelum upacara pembukaan.

Upacara rasmi bermula dengan perarakan atlet memasuki Stade de France yang megah selepas persembahan budaya dan muzik di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta disaksikan lebih 70,000 penonton.


Pemain golf wanita profesional negara, Ashley Lau membawa Jalur Gemilang mengetuai kontinjen Malaysia seramai 10 ahli termasuk timbalan ketua kontinjen, Datuk Nicol David, atlet terjun Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises.

Selepas ucapan Presiden Jawatankuasa Penganjur Paris 2024, Tony Estanguet dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, bendera Olimpik diturunkan.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, menyerahkan bendera kepada Bach, yang kemudiannya menyerahkannya kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass.

Bandar California itu mengambil alih pentas utama untuk mempersembahkan apa yang mereka tawarkan apabila Sukan Olimpik diadakan pada 2028.

LA28 kemudian menghiburkan penonton di Paris melalui penstriman persembahan penuh aksi dalam segmen video dengan Tom Cruise melompat dari kapal terbang untuk membawa bendera Olimpik ke mercu tanda Hollywood.

Olimpik Paris 2024 ditutup secara rasmi selepas Bach mengisytiharkan sukan ditutup dan disusuli dengan pertunjukan bunga api yang menakjubkan.


Paris akan seterusnya akan menganjurkan Sukan Paralimpik dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

LA28 akan menjadi kali ketiga Sukan Olimpik diadakan di Los Angeles selepas edisi 1932 dan 1984. Amerika Syarikat juga pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik di St. Louis 1904 dan Atlanta 1996.

Amerika Syarikat mengungguli Olimpik kali ini dengan mengumpul 40 emas, 44 perak dan 42 gangsa diikuti China (40-27-24), Jepun (20-12-13) dan Australia (18-19-16).

Malaysia dengan barisan 26 atlet memperoleh dua gangsa menerusi beregu badminton lelaki, Aaron Chia- Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia serta mengakihiri kempen Paris 2024 di kedudukan ke-80.

- BERNAMA