BEKAS pemain Kelantan, Austin Amutu menuntut Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk melunaskan hutang gajinya yang berjumlah RM170,000.

Kelantan telah meminjam Amutu dari Warri Wolves FC yang beraksi di Liga Nigeria.

Walau bagaimanapun, Amutu menjelaskan tidak akan membawa kes tunggakan tersebut kepada badan bola sepak dunia FIFA sepertimana dilakukan bekas penyerang Kelantan Erwin Carrillo.

Amutu mengakui dia sayangkan Kelantan namun perlu mempertahankan haknya.

"Saya sudah lakukan segala-galanya buat pasukan, saya juga sayangkan Kelantan.

"Saya telah melakukan banyak pengorbanan terhadap Kelantan tapi kenapa mereka (KAFA) buat begini terhadap saya," jelasnya yang dipetik dari laporan media tempatan.

Amutu juga mendedahkan ada berjumpa dengan Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa yang menjelaskan bahawa pihaknya tiada wang untuk membayar tunggakan gaji tersebut.