KUALA LUMPUR: Pemain golf China Yin Ruoning muncul juara Kejohanan Golf Maybank 2024 bernilai AS$3 juta (RM13.02 juta) dengan kelebihan satu pukulan ke atas pemain Thailand Jeeno Thitikul di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC),Bukit Kiara, di sini hari ini.

Pemain nombor empat dunia berusia 22 tahun itu merangkul gelaran kelima Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dengan jumlah 23 bawah par 265, sekali gus mengecewakan naib juara Jeeno dua kali berturut-turut selepas edisi sulung tahun lepas.

Pendahulu semalaman bersama Jeeno dan pemain Korea Selatan Ryu Hae Ran dengan 16 bawah par 200, Ruoning memulakan pusingan akhir dengan cemerlang apabila mencipta birdie pada lubang pertama, keenam, ketujuh, 10, 12 dan ke-18 untuk mengakhir saingan akhir dengan tujuh bawah par 65.

Bekas pemain nombor satu dunia itu merangkul gelaran kedua LPGA dalam tempoh dua minggu selepas kejuaraan Buick LPGA Shanghai pada 13 Okt lepas.

Hasrat Jeeno untuk percubaan kedua pada kejohanan itu tidak kesampaian apabila memperolehi bogey tunggal pada lubang keempat di sebalik tujuh birdie pada lubang pertama, ketiga, kelima, 10, 12, 14 dan ke-18 untuk melengkapkan kejohanan dengan catatan 67-69-64-66.

Dalam pada itu, Hae Ran melakarkan enam birdie dan satu bogey untuk menduduki tangga ketiga dengan jumlah catatan 21 bawah par 267 (64-69-67-67).

Mengulas mengenai kemenangannya, Ruoning berkata Hae Ran dan rakan baiknya Jeeno memberi tekanan sehingga pukulan terakhir bagi menguji kelebihan terbaiknya untuk kejuaraan ketiga tahun ini walaupun permulaan yang perlahan pada awal musim.

"Saya benar-benar menghadapi pertarungan yang sukar menentang mereka hari ini tetapi menghargainya kerana membolehkan saya memberikan yang terbaik. Satu lagi hari hebat bersama rakan-rakan saya...ini bukan kali terakhir (bermain dalam kelompok utama).

"Saya banyak belajar dari awal musim ini kerana agak tertekan. Saya melalui tahun yang hebat tahun lepas dan fikir bagaimana boleh melakukan sekali lagi.

"Saya belajar bahawa hanya perlu berseronok dan gembira...itulah saya lakukan," katanya selepas menerima trofi dan cek hadiah wang tunai berjumlah AS$450,000 (kita-kira RM1.96 juta).

Sementara itu, juara edisi sulung Celine Boutier (67-69-68-72) dari Perancis menduduki tempat ke-12 bersama lima yang lain termasuk pemain amatur Malaysia Mirabel Ting (67-75-64-70) dengan catatan keseluruhan 12 bawah 276.

Dalam pada itu, naib juara Jeeno mengakui telah memberikan yang terbaik tetapi tidak cukup untuk merangkul kejuaraan.

"Saya memberi 100 peratus di luar sana tetapi Ronni (Ruoning) melakukan kerja yang sangat luar biasa dan tidak mempunyai sebarang bogey sama sekali selama tiga hari lalu," kata Jeeno yang membawa pulang wang tunai AS$ 274,433 (kira-kira RM1.2 juta) selaku naib juara.

Dalam pada itu, Hae Ran pula menenerima hadiah wang tunai AS$199,082 (kira-kira RM864,000).

Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

-- BERNAMA