Roy King berkata beliau tidak sabar untuk beraksi di hadapan peminat sendiri, sambil menyifatkan ia memberi suntikan motivasi kepada mereka untuk beraksi lebih baik.
"Ketika ini memang kita akan rasa sangat gembira sebab minggu depan sudah bermula (Terbuka Malaysia). Sekarang pun kita sudah mula mendapatkan momentum untuk kejohanan ini.
"Dari segi persiapan, kami sudah berada pada tahap tertinggi serta bersedia untuk beraksi dan berharap akan dapat keputusan yang baik nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini semalam.
Sementara itu Wan Muhammad Arif berkata beliau sudah bersedia untuk bertemu siapa sahaja lawan mereka pada kejohanan itu.
Beliau berkata berbekalkan pengalaman bermain pada Terbuka China 2024 yang sama taraf dengan Super 1000 seperti Terbuka Malaysia, ia sedikit sebanyak membantu mereka untuk bermain lebih baik.
"Super 1000 memang besar sebab kami pernah bermain pada Terbuka China dan kami akan menikmati kejohanan ini dan keluarkan (strategi dan kekuatan) yang kami ada. Kami akan lawan saja, sebab Terbuka Malaysia pun sama seperti kejohanan sebelum ini," katanya.
Pencapaian terbaik beregu ke-23 dunia itu adalah muncul naib juara Masters Sepanyol (Super 300) dan ke separuh akhir untuk Masters Malaysia (750).
Kali terakhir Malaysia meraih gelaran juara beregu lelaki adalah melalui gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada tahun 2014.
-- BERNAMA