CRISTIANO Ronaldo telah mengecapi segala-galanya dalam kerjaya bola sepaknya dan juara tiga kali anugerah Ballon d'Or itu dilihat mahu menceburi dunia baru.

Selepas mengetuai Portugal meraih kejuaraan pertama dalam Euro 2016 sesudah membantu Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, Ronaldo telah menjejakkan kaki ke gelanggang Oktagon bersama bintang UFC, Conor McGregor, pada Ahad.

Sedang menikmati percutian di Amerika Syarikat, Ronaldo sempat menyertai sesi latihan juara featherweight UFC itu di Las Vegas.

Pemain berusia 31 tahun itu turut berkongsi gambar bersama bintang UFC itu di laman Instagramnya.


Sedang mempersiapkan dirinya untuk perlawanan UFC 202 berdepan Nate Diaz bulan depan, McGregor turut memuat naik gambarnya bersama pemain terbaik dunia itu.

"Rakan saya, Ronaldo, singgah ke gim latihan hari ini! Terima kasih Cristiano! Saya akan cuba mencabar ranking no.1 kamu selaku atlet yang menerima bayaran paling tinggi ketika ini," demikian status dimuat naik bintang UFC itu.