HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum temasya Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil bakal menutup tirainya.

Menang kalah adalah adat pertandingan dan apa yang penting adalah aksi semangat kesukanan yang dipamerkan.

Walaupun semua bersaing demi pingat emas untuk negara masing-masing, terdapat detik-detik yang tidak dapat dielakkan.

Jika pihak lawan cedera, adakah seseorang atlet itu akan teruskan pertandingan atau saling membantu?

Jika tewas, adakah atlet itu akan bersikat sinis atau memuji para pemenang?

Berikut adalah tiga detik semangat kesukanan yang mendapat pujian netizen menjelang Rio 2016 setakat ini:

1. Nikki Hamblin dan Abbey D’Agostino (acara lari jarak jauh 5000m)

Nikki Hamblin dari New Zealand dan Abbey D’Agostino dari Amerika Syarikat sedang berlari dalam pusingan awal (heats) bagi acara lari jarak jauh 5000m pada Selasa.

D’Agostino tiba-tiba terjatuh dan menyebabkan Hamblin yang berada di hadapannya turut terjatuh.

Beliau berkata kepada Hamblin untuk terus bangun dan menghabiskan pertandingan itu.

Namun D’Agostino sendiri sukar untuk bangun kerana mengalami kecederaan.

Apabila Hamblin sedar tentang kecederaan itu, beliau membantu D’Agostino untuk bangun dan memberikan sokongan.

Memetik laporan USA Today, kedua-dua mereka tetap berjaya menamatkan acara itu kurang dari 20 minit.

Ternyata kedua-dua atlet itu tidak mengenali antara satu sama lain sebelum perlumbaan itu tetapi berpelukan di garisan penamat seperti sahabat lama.

“Wanita itu (Abbey) mencerminkan semangat Olimpik. Saya begitu kagum dengannya.

“Saya tidak akan dapat melupakan detik ini,” katanya kepada pemberita.




2. Cameron McEvoy dan Kyle Chalmers (acara renang gaya bebas 100m)

Minggu lepas, perenang Australia Cameron McEvoy menjadi pilihan utama untuk menang acara gaya bebas 100m.

Namun pada acara final, beliau menduduki tempat ke-7 dan acara itu dimenangi oleh perenang muda dari Australia Kyle Chalmers.

McEvoy mendapat pujian netizen Australia setelah temuramah beliau bersama media tertumpu kepada kejayaan rakan senegaranya.

“Ia bukan tahap terbaik saya. Persiapan saya sepanjang tahun amat bagus.

"Namun cukup tentang saya, Kyle memasuki pertandingan ini dan beliau baru sahaja berusia 18 tahun dan kini menjadi juara Olimpik,” katanya kepada pemberita, dipetik dari laman news.com.au.




3. Anna Meares dan Wai Sze Lee (acara trek pecut individu)

Pelumba trek dan juara bertahan Britain Anna Meares mendapat pujian ramai untuk semangat kesukanan beliau.

Apabila tewas kepada pelumba trek Hong Kong Wai Sze Lee dalam acara trek pecut individu, Meares terus ke arah lawannya dan mereka pegang tangan sambil mengelilingi trek.

Beliau yang memulakan acara itu selaku juara bertahan (beliau memenangi pingat emas di London pada 2012), hanya menduduki tangga ke-10 dalam temsya di Rio.

Ini kerana, setelah tewas kepada Wai Sze Lee, beliau kemudian tewas kepada Tianshi Zhong dari China dalam pusingan seterusnya.

Sikap Meares mendapat pujian ramai.