Perenang negara, Tern Jian Han berjaya memadamkan rekod kebangsaan berusia 16 tahun milik Alex Lim Keng Liat sekali gus mara ke final acara 50m kuak lentang lelaki pada Sukan Komanwel 2018 di sini hari ini.

Pada aksi di Pusat Akuatik Optus itu, Jian Han mencatatkan masa 25.83s di saingan separuh akhir untuk melupuskan rekod kebangsaan 25.67s milik pemenang pingat perak acara sama di Sukam Komanwel 2002 Manchester, England.

Terdahulu, Jian Han mencatatkan masa 25.83s di peringkat saringan sekali gus memperbaharui rekod peribadinya iaitu 26.10s.

"Saya gembira akhirnya dapat pecahkan rekod legenda renang negara selama 16 tahun. Terus terang saya katakan, catatan masa pagi tadi sudah dekat dengan rekod kebangsaan tapi tidak mahu fikir terlalu jauh.

"Tapi akhirnya saya boleh padamkan rekod itu. Memang tidak sangka walaupun dapat agak peluang saya cerah jika saya buat dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Ditanya apakah rahsia kejayaannya itu, Jian Han berkata beliau mengikuti sesi latihan intensif yang lebih banyak berbanding sebelum ini dan ia menjadi perangsang buat dirinya untuk berjaya hari ini.

-- BERNAMA