SEPANG: Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyaksikan pendahulu keseluruhan, Jonatahan Rea (Kawasaki Racing Team) memenangi perlumbaan pertama.

Bagaimanapun Rea terpaksa tunduk kepada Chaz Davies (Aruba.it Racing - Ducati SBK) pada perlumbaan kedua.

Ini bermakna Rea terlepas peluang untuk dimahkotakan sebagai juara dunia di Sepang.

Davies membaiki persembahannya dalam perlumbaan kedua selepas memberi tentangan sengit kepada Rea dalam perlumbaan pertama.

Perlumbaan kedua tamat dengan Davies juara, Rea kedua dan Jordi Torres (Aprilia Racing Team - Red Devils) menduduki tempat ketiga.

Kemenangan Davies juga bermakna Rea memerlukan enam mata sahaja lagi pada pusingan seterusnya untuk dinobat juara dunia musim ini.

Rea yang menunggang motosikal Kawasaki ZX-10R mempunyai peluang untuk bergelar juara dunia selepas rakan sepasukan Tom Skyes gagal menaiki podium pada perlumbaan pertama.

Davies yang menunggang Ducati Panigale R beberapa kali memintas Rea pada perlumbaan pertama namun berakhir di tempat kedua.

Bekas juara dunia, Max Biaggi (Aprilia Racing Team) pula menjadi pelumba tertua menaiki podium apabila menduduki tempat ketiga pada perlumbaan tersebut.