Pemain sayap kebangsaan, Ashaari Samsudin muncul wira apabila meledak gol kemenangan di lewat permainan bagi membantu Terengganu menewaskan Angkatan Tentera Malaysia ATM 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pada Sabtu.

Terengganu yang turun memburu kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga membuka tirai jaringan menerusi Khairul Rahmadhan Zauwawi pada minit ke-30.

ATM terpaksa menunggu pada minit ke-75 untuk menyamakan kedudukan menerusi Marlon Alex James sebelum Ashaari kembali meletakkan skuad Penyu di depan, pada minit ke-81.

Selang lapan minit, ATM sekali lagi bangkit menghasilkan gol penyamaan menerusi Cristie Jayaseelan. Namun, Ashaari muncul wira Terengganu apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-90.

Ini merupakan kemenangan kedua Terengganu musim ini, kini mengumpul lapan mata selepas lapan perlawanan.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sabtu menyaksikan Pahang dan Kelantan seri dua sama.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Pahang dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat menerusi Norfarhan Mohamad, pada minit ke-10.

Menuju rehat, tuan rumah berjaya mencuri gol penyamaan hasil jaringan Hafiz Kamal untuk kedudukan satu sama berakhir babak pertama.

Masuk babak kedua, tuan rumah terpaksa beraksi tempang apabila Hafiz dilayangkan kad merah selepas sengaja memijak pemain Kelantan.

Peluang itu tidak dipersiakan The Red Warriors apabila berjaya menggandakan kelebihan menerusi Keita Mandjou, pada minit ke-84.

Begitupun, Fauzi Roslan muncul penyelamat skuad Tok Gajah apabila menghasilkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti, tiga minit sebelum wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Pahang berada di tangga kelima liga, manakala Kelantan di kedudukan kesembilan liga.