Rakan seperjuangan mendiang Chua Boon Huat meluahkan rasa kehilangan mereka, terhadap pemergian pemain hoki kebangsaan itu yang terkorban dalam kemalangan jalan raya, awal pagi tadi.

Mendiang Chua, 33, maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara-Puchong berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, apabila kereta Proton Perdana dipandunya terlanggar sebuah lori tangki air, pada 2.25 pagi.

Penjaga gol kebangsaan S. Kumar yang merupakan teman rapatnya menyifatkan mendiang Chua sebagai seorang rakan yang sangat baik dan mementingkan persahabatan, tanpa mengira bangsa atau warna kulit.

"Beliau seorang yang budiman, bersemangat tinggi dan apa yang paling penting, tidak pernah berputus asa dalam setiap yang dilakukannya serta dia selalu gembira dan tidak kedekut memberikan nasihat kepada pemain muda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini Khamis.

S. Kumar berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan mendiang adalah pada majlis berbuka puasa dan penyampaian insentif kepada skuad hoki kebangsaan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Rabu.

Katanya, beliau bersama dua lagi pemain iaitu Baljit Singh dan Jivan Mohan sempat berborak dengan Chua selama lebih kurang 30 minit ketika majlis tersebut.

"Saya rasa sangat sedih kerana kami merupakan kawan baik, saya kenal Chua sejak tahun 1998 di kejohanan Hoki Junior Kebangsaan. Dia telah mengajak saya menyertai pasukan Melaka walaupun saya berasal dari Negeri Sembilan.

"Dia mengajar saya untuk menjadi seorang pemain yang komited sepertinya. Beliau memang seorang pemain yang sangat komited ketika dalam latihan dan sentiasa mahukan kemenangan," katanya.

Sementara itu, bekas penolong jurulatih pasukan hoki negara Nur Saiful Zaini Nasaruddin berkata beliau pernah beraksi sekali bersama mendiang ketika pada Piala TNB 2008.

"Semasa bekerjasama dengannya saya nampak beliau memang seorang pemain yang sangat berbakat dan komited ketika beraksi dan saya berasa kecewa kerana tidak sempat berjumpa dengan mendiang pada majlis MHC semalam, kerana terpaksa menghadiri majlis yang dianjurkan TNB," katanya.

Bagi Nur Saiful pemergian mendiang Chua sedikit sebanyak mengganggu emosi seluruh skuad hoki kebangsaan dan merupakan satu kehilangan besar negara.