Digeruni lawan dan taulan kerana pukulan sikunya boleh membuat lawan kecundang dan 'pecah muka'.
Namanya antara yang disebut-sebut bakal menjuarai kejohanan Makmur Gold International Muay Thai yang menawarkan hadiah kereta Honda City Hatchback pada 20 Mei depan dalam kategori remaja 16 hingga 17 tahun, dengan berat 51 kilogram.
Bercakap kepada Astro AWANI, Mohd Rafiq sentiasa menjaga berat badan, stamina dan kekuatan kaki serta tangan.
"Kekuatan siku, tulang keting, kaki sangat penting dan saya akan menjadikan tubuh badan lebih bersemangat untuk setiap latihan dan kejohanan yang saya sertai," katanya.
"Saya mulai belajar Muay Thai sejak enam tahun lalu atau ketika saya berusia hampir 9 tahun, apatah lagi ayah saya juga seorang ahli Muay Thai," katanya.
Remaja yang berasal dari kampung Chicha Menyabong Sering, di sini mendapat latihan secukupnya bahkan latihannya juga mencabar.
"Saya kena berlari setiap hari sejauh 12 kilometer, pagi, petang dan malam. Saya kena jaga makan, tidak boleh makan makanan berminyak, bersantan dan saya tidak merokok," jelasnya.
Mohd Rafiq Azrin mula bergiat dalam sukan Muay Thai sejak berumur 9 tahun.
Dia sangat mahir menggunakan sikunya, sekali gus pernah menumpaskan lawan dan menjatuhkannya dengan mudah.
Mohd Rafiq Azrin sudah bertarung sebanyak 25 perlawanan dalam masa enam tahun di sekitar Malaysia dan Thailand.
Selain beraksi dalam acara dalam negara WMD Muay Thai Fight, baru-baru ini, dia juga pernah bertarung dengan lawan dari negara Thailand yang berusia 17 tahun.
Sebagai wakil negeri, cabaran terbesarnya adalah untuk meneruskan perjuangan sebagai peninju yang mewakili negeri ini.
"Dengan adanya cabaran seperti itu saya akan bertekad terus berusaha menjadi yang terbaik dan menjuarai setiap pertandingan yang saya sertai," katanya.
Mengulas mengenai penglibatannya sepanjang enam tahun ini, Mohd Rafiq Azrin, berkata di awal kemunculannya di pentas kejohanan di Thailand, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana memikirkan perlawanan yang bakal dihadapi dalam kejohanan itu.
"Pernah sekali tu saya tidak duduk dalam bilik berfikir dan tidak dapat buat apa-apa. Selepas itu ayah tanya kenapa, saya tanya bagaimana saya nak melalui pertandingan itu nanti. Saya tiada kekuatan.
"Namun, selepas proses bertenang, saya akhirnya dapat melaluinya dengan mudah malah menjadi lebih semangat lagi setiap kali tiba musim kejohanan," katanya.
Dia yang pernah menyertai beberapa pertandingan peringkat wilayah di Thailand turut berkongsi rasa sebak apabila melalui detik sukar ketika itu.
Katanya, apa yang paling menyedihkan adalah apabila dia terpaksa berseorangan berlawan di gelanggang di negara itu, kerana ayahnya terpaksa pulang ke Malaysia atas urusan kejohanan.
"Itu adalah pengalaman yang paling pahit buat saya apabila ayah tiada di samping saya, semasa berjuang di negara orang," katanya.
Ditanya mengenai prestasinya, dia berkata, akan lebih berusaha memastikan rentak dan aksi persembahan terbaik untuk menjuarai kejohanan yang bakal berlangsung di Terengganu nanti.
Sementara itu bapanya, Mohd Farid Izuan berkata, anaknya telah menjalani latihan seperti biasa dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dengan baik bagi mengelakkan berlaku jangkitan COVID-19.
"Setakat ini Mat Koro berada dalam keadaan baik dan bertenaga, dia sudah bersedia untuk menghadapi lawannya dalam acara kejohanan di Terengganu nanti," katanya.
Selain itu menurutnya lagi, selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, berkemungkinan selepas raya, Mohd Rafiq Azrin akan memasuki kejohanan di negara itu.