Sekurang-kurang 50 bekas atlet normal dan atlet kelainan upaya negeri Selangor yang kurang berkemampuan mendapat pembelaan menerusi Program Ceria Atlet Selangor 2020, dilancarkan semalam dengan peruntukan sebanyak RM195,350.

Exco Pembangunan Generasi Belia & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman berkata inisiatif itu bagi menzahirkan penghargaan kepada bekas atlet yang mengharumkan nama negeri serta negara suatu ketika dahulu.

"Kami bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk menjejaki bekas atlet ini dan dianggarkan seorang bekas atlet menerima bantuan berjumlah RM5,000 bergantung kepada keperluan mereka," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Ceria Atlet Selangor 2020, di sini.

Beliau berkata kira-kira 250 permohonan telah diterima oleh Yakeb dan pemilihan dibuat berdasarkan penilaian bersama dengan pejabat exco dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

Mohd Khairuddin berkata antara kriteria pemilihan bekas atlet adalah anak jati Selangor yang pernah mewakili negeri di peringkat kebangsaan, mengalami kesempitan hidup dan tiada pendapatan tetap.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya belum menetapkan sasaran pingat di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor kerana atlet negeri masih belum menyertai pertandingan susulan pandemik COVID-19.

Katanya, ketiadaan pertandingan peringkat kebangsaan kerana lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga hujung tahun ini juga menyebabkan pihaknya sukar mengukur prestasi sebenar atlet meskipun mereka menjalani latihan.

"Semua negeri juga hadapi masalah sama. Kita cuma tunggu prosedur operasi standard (SOP) terbaharu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Jika dibenarkan (untuk anjur pertandingan peringkat kebangsaan), kami akan mulakan bagi menguji prestasi atlet," katanya.

-- BERNAMA