KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak timbul istilah melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan jenayah, dan meminta pihak berkuasa untuk turut sama bertegas dalam menegakkan undang-undang.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jamin tiada perlindungan bagi pelaku jenayah, dan penegakan undang-undang berdasarkan bukti, bukan persepsi.
  • Anwar tekankan keperluan siasatan telus dan profesional untuk keadilan, walaupun proses mungkin lambat.
  • Walau ekonomi terhad, kerajaan akan pertimbang peruntukan bagi meningkatkan prestasi sukan tempatan.


Jelas Anwar, beliau memahami keresahan sesetengah pihak berhubung isu yang melanda dunia dan atlet sukan negara, namun menegaskan setiap tindakan harus diambil berdasarkan bukti serta fakta, dan bukan mengikut persepsi semata-mata.

"Walaupun kadang-kadang orang resah dan mengeluh apabila nampak (jenayah) lambat terbongkar tetapi tidak semua perkara boleh dilakukan dalam kadar cepat.

"Kalau kita mahu tindakan itu telus, profesional dan adil, maka siasatan harus dijalankan dengan rapi, bukan untuk melindungi sesiapa tetapi untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Tambah Anwar, sebagai perdana menteri, beliau juga mahu melihat keadilan ditegakkan namun tindakan dan hukuman yang dibuat secara gopoh boleh membawa ketidakadilan kepada pihak lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Anugerah Sukan Negara 2023, pada Khamis.

Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan biarpun dalam keadaan kekangan ekonomi, pertimbangan sewajarnya tetap akan diberi bagi membantu melonjakkan prestasi sukan tempatan.

“Kita akan cuba sedaya upaya kerana sukan ada kekuatannya. Kerana ia adalah satu kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat didukung bersama.

“Jika ada keperluan akan kita bentangkan ke Jemaah Menteri. Walaupun menghadapi kekangan ekonomi dan kewangan kita akan beri pertimbangan untuk peruntukan,” katanya lagi.