Presiden syarikat pengeluar automobil Toyota, Akio Toyoda mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jawatankuasa Pengelola Olimpik Tokyo 2020 susulan kos penganjuran sukan berkenaan dilapor melambung berbanding kos asal.

Memetik laporan NBC News, jawatankuasa itu berkata, Akio dijangka akan digantikan oleh Presiden Panasonic, Kazuhiro Tsuga.

Difahamkan, Akio juga merupakan anggota jawatankuasa Persekutuan Perniagaan Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo.

Penganjur berkata Toyoda mungkin bimbang sama ada dapat melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab dalam kedua-dua jawatankuasa tersebut, memandangkan organisasi Olimpik sedang memohon sokongan daripada komuniti perniagaan tersebut.

Syarikat Toyota Motor adalah penaja utama Sukan Olimpik 2020.

Toyoda berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau mengambil keputusan mengundur diri bagi menyusun semula peranan beliau dalam meningkatkan usaha menggalakkan sokongan perniagaan buat Sukan Olimpik 2020.