Malaysia memulakan saingan pembukaan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2016 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Kemboja 3-2 di Stadium Thuwanna, Myanmar, sebentar tadi.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dikejutkan seawal minit ke-8 menerusi gol kontroversi yang disumbangkan oleh Chan Vathanaka.

Berlaku kekeliruan yang menuju ke arah gol tersebut apabila pemain Malaysia berhenti mengejar susulan melihat penjaga garisan melayangkan bendera ofsaid namun pengadil mengarahkan perlawanan diteruskan sekaligus memudahkan Vathanaka yang tanpa dikawal menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi gerakan solo pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon yang berjaya menewaskan pertahanan Cambodia sebelum merembat deras ke gawang lawan.

Skuad negara kemudiannya mendapat peluang menerusi penyerang Amri Yahyah namun rembatan lencongnya sedikit melewati tiang kanan gol.

Memasuki babak kedua, Vathanaka kembali menghantui Malaysia pada minit ke-59 dengan gol kedua Cambodia.

Pemain memakai jersi no.11 itu menewaskan dua pertahanan negara sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan Khairul Fahmi.

Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-69 menerusi Amri Yahyah yang membuat tolakan mudah hasil hantaran Hazwan Bakri.

Irfan Fazail hampir meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-72 namun percubaannya sekadar menggegar palang gol.

Skuad negara akhirnya berada di depan menerusi gol kedua Amri Yahyah pada minit ke-80.

Pemain berusia 35 tahun itu merembat rendah menewaskan penjaga gol Sou Yaty selepas menerima hantaran Safee Sali.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanana sekaligus meletakkan Malaysia di persada Kumpulan B sementara menanti aksi di antara Myanmar menentang Vietnam yang akan berlangsung pada jam 7.30 malam.