Trofi Piala Malaysia akan menjadi hadiah paling bermakna untuk Raja Muda Selangor sekiranya skuad Gergasi Merah dapat menjinakkan Kedah di pentas final di Stadium Shah Alam, malam esok.

Penyelaras Kelab penyokong Bola Sepak Selangor, Shahrizal Md Sari berkata kemenangan itu akan menjadi hadiah yang amat bermakna buat Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah atas pertabalan baginda sebagai Raja Muda Selangor, baru-baru ini.

Justeru, katanya, skuad bimbingan K. Gunalan itu perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dalam ulangan final.

Pada final tahun lepas, Selangor mengalahkan Kedah 2-0.

"Kami menaruh harapan tinggi agar pemain lebih bersemangat dan menampilkan aksi terbaik dengan menumbangkan skuad Kedah dengan keputusan 3-0," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 100 keping tiket kepada penyokong tegar Selangor di sini hari ini.

Shahrizal turut berharap seluruh peminat dan rakyat Selangor akan turun untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Gergasi Merah.

Selain itu, beliau menyeru penyokong Selangor supaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta menjaga disiplin di dalam dan luar stadium agar perlawanan dapat berjalan dengan lancar.

Beliau turut menasihatkan penyokong supaya tidak bertindak liar atau melakukan provokasi terhadap penyokong Kedah sehingga perlawanan itu dicemari dengan insiden yang tidak diingini. -- BERNAMA