KUALA LUMPUR: Selangor FC mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0 pada aksi pusingan kedua kalah mati Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi.

Dalam pertembungan derbi Lembah Klang itu, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati pada babak pertama perlawanan selain gagal memecah kebuntuan gol sehingga wisel separuh masa pertama ditiup.

Memasuki babak kedua, Selangor mengorak langkah dengan beberapa cubaan ke arah gawang gol KL namun berjaya dipatahkan penjaga gol Kevin Mendoza.

Selangor bagaimanapun mengukir kegembiraan apabila kemasukan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau yang menggantikan Hein Htet Aung berhasil menyumbang gol pendahuluan pada minit ke-61.

Skuad The City Boys tersentak dengan jaringan pendahuluan itu cuba menyamakan kedudukan dengan beberapa cubaan Jordan Mintah menguji penjaga gol Selangor, Samuel Somerville namun tetap tidak berhasil mencetak gol.

KL terus menekan dengan peluang terakhir terhidang buat mereka di masa kecederaan namun rembatan padu Jordan hanya melepasi gawang gol Selangor.

Keputusan kekal Selangor mendahului 1-0 sehingga wisel penamat ditiup.

Skuad Red Giants, dijadualkan bertemu Sabah FC di suku akhir pada 23 Julai ini.

-- BERNAMA