CANBERRA: Bola sepak Australia menyambut baik keputusan FIFA untuk mengibarkan bendera masyarakat peribumi pada Piala Dunia Wanita 2023.

Badan induk bola sepak dunia itu pada Jumaat mengumumkan bahawa bendera Aboriginal and Torres Strait Islander akan berkibar dengan bendera kebangsaan Australia manakala bendera Maori dinaikkan bersama New Zealand melibatkan perlawanan negara masing-masing semasa kejohanan, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, ketua eksekutif FA James Johnson mengucapkan terima kasih kepada FIFA atas keputusan itu serta kerajaan Australia dan New Zealand atas sokongan mereka.

"Pengesahan oleh FIFA bahawa semua bendera rasmi Australia akan dikibarkan semasa Piala Dunia Wanita FIFA adalah detik penting bagi semua warga Australia, khususnya Rakyat Negara Pertama," kata Johnson.

Pengumuman itu dibuat 13 hari sebelum detik mula Piala Dunia di Australia dan New Zealand yang akan diadakan antara 20 Julai dan 20 Ogos.

New Zealand akan menentang Norway di Auckland dan Australia bertemu Ireland di Sydney pada 20 Julai.

Skuad 23 pemain Australia untuk kejohanan itu yang diumumkan pada Isnin membariskan dua pemain peribumi - penyerang Kyah Simon dan penjaga gol Lydia Williams, yang akan menyertai rakan sepasukan Clare Polkinghorne untuk menjadi warga Australia pertama ke lima Piala Dunia.

-- BERNAMA