KUALA LUMPUR: Malaysia menepati ramalan mara ke peringkat separuh akhir acara berpasukan selepas mengetepikan cabaran India pada aksi suku akhir kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Kemaraan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu menyaksikan Malaysia akan bertemu Indonesia malam ini setelah mengatasi Myanmar 2-0 dalam satu lagi aksi suku akhir berlangsung sebelah pagi.

Berdepan India sebentar tadi, Malaysia meletakkan trio utama Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias untuk meraih mata pertama buat negara menundukkan Ramkumar Sharma, Henary Singh Wahengbam dan Longkhon Singh Elambam 15-3 dan 15-11.

India kemudiannya terus dikecewakan apabila Malaysia meraih mata kedua menerusi gandingan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Shahalril Aiman Halim dengan keputusan 15-5 dan 15-12.

Mohammad Syahir ketika ditemui selepas perlawanan berkata skuad negara sama sekali tidak akan memandang mudah cabaran Indonesia yang semestinya mahu membalas dendam ke atas kekalahan mereka pada pentas akhir temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

"Indonesia satu pasukan yang kuat selain mempunyai pemain berkualiti dan semangat juang yang tinggi, jadi kita kena berjaga-jaga dan tidak terlalu yakin.

"Kami tahu tidak akan menang dengan mudah dan apa-apa pun akan cuba untuk melangkah ke perlawanan akhir," katanya.

Sementara itu, gergasi sepak takraw iaitu Thailand seperti dijangka menewaskan Jepun 2-0 untuk menempah pertemuan separuh akhir menentang Korea Selatan yang menewaskan Vietnam 2-1 di suku akhir.

Perlawanan separuh akhir masing-masing akan berlangsung pada jam 8 malam ini.

-- BERNAMA