SKUAD Maghribi sudah memberikan sepenuh kudrat, namun perjalanan mereka terhenti di separuh akhir Piala Dunia setelah tewas 0-2 kepada juara bertahan Perancis pada Khamis.

Bagaimanapun jurulatihnya, Walid Regragui tetap memuji usaha para pemain dalam pengembaraan kisah dongeng mereka sehingga mara ke kelompok empat pasukan terbaik dunia.

"Kami sudah memberikan segala-galanya, itu yang paling penting. Pemain berjuang sehingga minit akhir.

"Kami mahu memenangi perlawanan ini tetapi kami bertemu lawan kuat yang tahu apa mereka lakukan.

"Mereka menunggu anda melakukan kesilapan di mana kami lakukannya di awal perlawanan," ujar Regragui.

IKUTI RANGKUMAN BERITA PIALA DUNIA 2022 DI SINI 

Semangat para pemain Maghribi disentap pada awal permainan menerusi gol pembukaan Theo Hernandez pada minit kelima.


Regragui sebelum ini melalui detik manis apabila anak buahnya melakar kejutan demi kejutan dengan menewaskan Sepanyol dan Portugal pada pusingan kedua serta suku akhir.

Beliau juga tidak terlepas daripada cabaran apabila terpaksa berdepan dengan beberapa pemain yang bergelut untuk cergas sepenuhnya.

Pemain pertahanan tengah, Nayef Aguerd terpaksa diketepikan selepas memanaskan badan dan dingantikan dengan Achraf Dari.

Seorang lagi pemain pertahanan dan kapten, Romain Saiss diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi terpaksa dikeluarkan selepas 21 minit beraksi.

"Kami kehilangan ramai pemain yang sudah melakukan yang terbaik. (Noussair) Mazraoui tidak cergas tetapi tetap beraksi. Begitu juga Saiss.

"Tiada apa-apa lagi dapat saya katakan apabila pemain memberikan yang paling maksimum," kata Regragui.

Jentera serangan Maghribi berusaha keras sepanjang permainan untuk memburu gol penyamaan, namun mereka kekurangan sentuhan penyudah.

"Kami berpeluang menjaringkan gol, tetapi malangnya ia tidak berhasil. Semoga rakyat Maghribi memaafkan kami.

"Kami mahu ke final tetapi...lain kali insya-Allah," ujar Regragui. -Sinar Harian