GOL separuh masa kedua daripada Alexis Mac Allister dan Julian Alvarez membantu Argentina memperoleh tiket pusingan 16 dengan kemenangan 2-0 ke atas Poland, di sebalik kegagalan Lionel Messi menyempurnakan sepakan penalti di Stadium 974.

La Albiceleste mengungguli Kumpulan C, Poland tetap mengiringi mereka sebagai naib juara hasil perbezaan jaringan ke atas Mexico, yang merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi di Stadium Lusail.

Walaupun Wojciech Szczesny cemerlang menafikan sepakan penalti Messi, Mac Allister dan Alvarez meledak gol dalam separuh masa kedua sekali gus memastikan Argentina melepasi peringkat kumpulan buat kali ke-13 daripada 14 percubaan.




Bagaimanapun, ekoran jaringan lewat Arab Saudi ke atas Mexico, Poland mengiringi Argentina ke peringkat kalah mati hasil perbezaan jaringan, mara ke pusingan 16 buat pertama kali sejak 1986.

Henry Martin dan Luis Chavez menjaringkan dua gol buat Mexico meletakkan mereka di landasan yang baik ke peringkat kalah mati, namun jaringan saguhati Salem Al-Dawsari memaksa mereka berputih mata untuk meneruskan kemaraan.