PETALING JAYA: Bekas juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail teruja untuk memulakan musim baharu dengan cemerlang apabila menetapkan sasaran meraih pencapaian tertinggi pada Kejohanan Boling Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong, dari 5 hingga 14 Januari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu tidak hanya berharap untuk mengakhiri kemarau 13 tahun Malaysia memenangi gelaran juara perseorangan lelaki, tetapi juga mahu menebus kekalahan di peringkat suku akhir pada edisi sebelum ini, sekali gus membawa pulang pingat dalam acara berpasukan.

"Piala Dunia adalah satu kejohanan yang saya nak menang, pencapaian terbaik dapat nombor empat pada tahun 2015.

"Pada edisi lepas (2022) di Australia saya kalah di peringkat suku akhir, namun kali ini saya harap sekurang-kurangnya dapat menaiki podium atau menang emas," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan, di sini semalam.

Muhammad Rafiq selaku pemain terbaik Asia ketika ini berkata Piala Dunia 2025 menjadi medan terbaik untuk meneruskan momentum selepas beraksi cemerlang pada Kejohanan Boling Tenpin Asia (ATBC) 2024 di Bangkok pada September lepas.

Pemain kelahiran Selangor itu memenangi acara perseorangan lelaki, trio (bersama Hafiz Zainuddin dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek), All Events dan Masters.

"2024 adalah antara tahun terbaik dan sangat manis kerana selain memenangi ATBC, saya juga berjaya mengekalkan ranking Asia (untuk tahun keempat berturut-turut)," katanya.

Selain Muhammad Rafiq, pasukan Malaysia pada kejohanan di Hong Kong itu disertai Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol, manakala pasukan wanita akan diketuai pemain nombor satu Asia Sin Li Jane, bersama juara dunia Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim.

Sementara itu pengurus pasukan kebangsaan Maradona Chok optimis para pemain berpengalaman negara akan menyerlah dan memenangi pingat di Hong Kong.

"Terdapat banyak pasukan yang kuat, dan kami antara mereka. Jadi, peluang kami untuk menang adalah setanding dengan pasukan lain," katanya.

-- BERNAMA