KANGAR: Perlis bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2025 yang dijadualkan berlangsung pada April ini, kata Presiden Persatuan Angkat Berat Perlis Mohd Faiz Musa.

Beliau berkata penganjuran itu telah dimasukkan dalam takwim kejohanan, dan kini sedang menunggu perbincangan lanjut pada peringkat Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

"Pemilihan bulan April juga bertepatan dengan ketibaan musim mempelam Harumanis yang sinonim dengan negeri Perlis. Selain menyaksikan kejohanan ini, pengunjung luar boleh menikmati buah mempelam Harumanis, sekali gus mempromosikan negeri ini bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025," katanya.

Mohd Faiz berkata demikian selepas menerima sumbangan peralatan angkat berat daripada Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) yang disampaikan penaungnya Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya di sini hari ini.

Pertubuhan itu menyumbangkan peralatan bernilai RM20,000 kepada Persatuan Angkat Berat Perlis susulan kejayaan cemerlang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Sementara itu, Mohd Faiz berkata atlet angkat berat negeri kini sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi SUKMA 2026 dengan menyasarkan untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan serta memecahkan rekod kebangsaan.

Beliau berkata pasukan angkat berat Perlis mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan dengan meraih empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada SUKMA 2024.

Lebih manis, badang Perlis Muhammad Hafizuddin Roslin memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam kategori 81 kilogram lelaki pada temasya berkenaan.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata penyerahan sumbangan itu sebagai motivasi kepada atlet angkat berat negeri untuk meningkatkan prestasi dan mengangkat nama Perlis.

"Kami berharap agar pemberian ini dapat membantu memudahkan persatuan dalam melakukan persediaan menghadapi saingan SUKMA 2026," katanya.

-- BERNAMA