Perak berjaya merampas gelaran juara Kejohanan Hoki Piala Razak 2017 selepas menundukkan juara bertahan, Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah di sini, malam tadi.

Gol pertama pasukan Perak hadir menerusi jaringan padang Mohd Najib Abu Hassan pada minit ke-30.

Biarpun ketinggalan 1-0, Terengganu tidak mudah menyerah kalah dan ini dibuktikan oleh Faizal Shaari yang memanfaatkan pukulan sudut penalti bagi menyamakan kedudukan lima minit selepas separuh masa kedua.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun enggan menghampakan penyokong sekali lagi mendahului menerusi Muhammad Haziq Samsul pada minit ke-53 hasil jaringan padang.

Asakan daripada pasukan lawan terus berganda apabila mendapat satu lagi gol menerusi hasil pukulan sudut penalti oleh Faizal pada minit ke-56.

Hafifihafiz Hanafi muncul wira Perak apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan sekali gus memastikan tuan rumah menjulang piala edisi ke-55 selepas memenanginya pada 2013 dan 2014.

Sementara itu, Melaka menduduki tempat ketiga Divisyen Satu selepas mengalahkan Negeri Sembilan dengan kemenangan tipis 1-0.

Terdahulu, Perlis muncul juara Divisyen Dua selepas mengalahkan Selangor 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung pukul 6 petang Ahad di stadium sama, sekali gus layak beraksi di Divisyen Satu pada musim 2018.

Azhad Akmal Mohd Fahmi muncul wira Perlis apabila meledakkan dua gol padang masing-masing pada minit ke-16 dan 52.

Sementara itu, ATM mengalahkan Pahang 3-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.


Senarai Penerima Anugerah Piala Razak 2017 (Lelaki) :

Divisyen 1:

Anugerah Fairplay: Negeri Sembilan

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohd Haziq Samsul (Perak)

Penjaga Gol Terbaik: S. Kumar (Negeri Sembilan)

Penjaring Gol Terbanyak: Faizal Saari (Terengganu)

Pemain Terbaik: Muhammad Marhan Jalil (Negeri Sembilan)


Divisyen 2:

Anugerah Fairplay: ATM

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Azhad Akhmal Mohd Fahmi (Perlis)

Penjaga Gol Terbaik: Faizal Aziz (Perlis)

Penjaring Gol Terbanyak: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (Perlis)

Pemain Terbaik: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (Perlis)

-- BERNAMA