PENJARING terbanyak Liga Super 2023, Ayron Del Valle, mengetuai enam pemain yang akan meninggalkan Selangor bagi saingan musim 2024/25.

Sejam selepas mengumumkan pemergian ketua pasukan, Brendan Gan, Gergasi Merah dalam satu kiriman sosial media turut mengucapkan selamat tinggal dan mendedikasikan penghargaan tertinggi buat Ayron, Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu dan Zahril Zabri.

"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Brendan Gan, Ayron Del Valle, Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu dan Zahril Zabri atas kerja keras dan sumbangan mereka kepada kelab ini.

"Mereka berkongsi sebanyak 192 penampilan, menjaringkan 51 gol dan mencatatkan 21 bantuan.

"Kelab ini ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan berterima kasih sekali lagi atas jasa mereka kepada kelab ini," kata kenyataan itu.

Sebagai rekod, Ayron menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan menghasilkan 23 gol sepanjang kempen 2023.


*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro