SELEPAS setahun menahan kritikan dan cacian di media sosial kerana ukiran skulptur kepala Cristiano Ronaldo yang dibuat lansung tidak menyerupai bintang bola sepak Portugal itu, pengukirnya Emanuel Santos ‘membalas dendam’ dengan menghasilkan ukiran baharu – yang hasilnya amat mengagumkan!

Akhirnya Santos berjaya menutup mulut pengkritiknya dengan karya terbaharu yang dibiayai laman web Bleacher Report.

Dalam temubual beremosi bersama Bleacher Report, Santos memberitahu bahawa ejekan yang diterima sejak setahun lalu selepas ukiran pertamanya itu dipaparkan kepada umum telah membuatkan dirinya berasa terasing dan keluarganya malu.

“Saya seperti tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun, dan amat sukar untuk mengendalikan segalanya,” cerita Santos.

Selepas dicabar untuk mencipta interpretasi yang lebih tradisional, Santos memaklumkan bahawa dia telah merancang untuk menghasilkan ukiran kepala Ronaldo yang menampilkan ekspresi yang ’lebih serius’.


Pada masa sama, dia juga mengakui agak gemuruh dengan reaksi yang bakal diterima daripada karya terbaharunya tetapi bertegas tidak akan membiarkan semua itu menghalangnya untuk menyiapkan ukiran itu.

“Saya mahu anak saya faham bahawa sekiranya dia benar-benar gembira melakukan sesuatu, dia tidak boleh ditewaskan dengan kritikan negatif,” katanya.

Dia yang merupakan peminat tegar Ronaldo memberitahu bahawa dia mempunyai hubungan baik dengan penggempur Real Madrid itu.

Santos turut mempertahankan hasil kerja pertamanya itu biarpun dikritik teruk, tetapi tidak kurang yang memujinya termasuk Ronaldo sendiri.

Ukiran pertama Santos itu dipersembahkan pada Mac tahun lepas pada majlis menamakan lapangan terbang Madiera dengan nama Ronaldo, yang merupakan wira tempatan pulau itu selepas karier luar biasanya dari anak perkampungan kecil sehingga menjadi sensasi dunia.


Pengukir amatur itu menjelaskan, penghasilan patung kepala itu ‘tidaklah semudah yang disangka’ dan ia merupakan satu kerja yang ‘berdasarkan rasanya’ ketika itu.

“Mustahil untuk ‘memuaskan hati orang Greek dan Trojan’ pada masa sama. Malah Jesus juga tidak dapat memuaskan hati semua orang,” ujar Santos.

Ukiran kepala asal yang memakan masa 15 hari untuk disiapkan Santos akan kekal dipamerkan di luar pintu masuk terminal itu.