Penerjun negara, Cheong Jun Hoong menarik diri daripada kejohanan dunia di Kazan, Russia, ekoran kecederaan tumit yang memaksa ketua jurulatih, Yang Zhuliang melakukan rombakan besar.
Jun Hoong mengalami kecederaan ketika menjalani latihan di China dan terpaksa direhatkan daripada Kejohanan yang berlangsung di Russia, hari ini.Ketiadaan Jun Hoong menyaksikan Zhuliang terpaksa melakukan rombakan terhadap dua acara harapan pingat.
Penerjun muda, Nur Dhabitah Sabri yang dipilih menggantikan Jun Hoong akan digandingkan bersama Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3 meter papan anjal terjun seirama.
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong pula kembali bergandingan bersama Leong Mun Yee dalam 10-meter platform terjun seirama.
Gandingan dua penerjun terbaik Malaysia merupakan penyumbang pingat di Kejohanan Dunia edisi yang lepas.
"Kecederaan tidak dapat dielak di dalam mana-mana sukan," kata Zhuliang.
"Untuk Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, kombinasi pasangan untuk terjunan seirama boleh ditukar dan saya rasa skuad terjun masih lagi mampu membawa pulang kejayaan nanti."
Tumpuan buat Dhabitah kerana bakal buat penampilan sulung kejohanan dunia.