Pemain kriket England, Moeen Ali diberi amaran oleh Majlis Kriket Antarabangsa untuk tidak memakai jalur pergelangan tangan yang menunjukkan sokongannya kepada penduduk Gaza semasa perlawanan antarabangsa.

ICC bagaimanapun mengatakan Moeen tidak akan berdepan tindakan disiplin kali ini selepas diberi amaran oleh pengadil, David Boon.

Moeen memakai jalur pergelangan tangan "Save Gaza" dan "Free Palestine" pada perlawanan ujian ketiga menentang India pada Isnin semasa membuat pukulan dalam 'inning' pertama di Rose Bowl, Southampton.

Konflik di Gaza masuk minggu keempat dengan korban warga Palestin mencecah 1,100 orang dan Israel kematian 56 orang.

ICC mengatakan akan menyiasat kejadian itu. Jurucakapnya memberitahu AFP: "Peraturan peralatan dan pakaian ICC tidak membenarkan paparan mesej yang ada kaitan dengan aktiviti atau perjuangan politik, agama dan perkauman semasa perlawanan antarabangsa.

"Moeen Ali diberitahu oleh pengadil bahawa dia bebas untuk menyatakan pandangannya di luar padang kriket tetapi dia tidak dibenarkan memakai jalur pergelangan tangan di padang perlawanan. Dia diberi amaran untuk tidak mengulanginya lagi."

Moeen, 27, keturunan Pakistan beragama Islam yang lahir di Birmingham, dirakamkan fotonya baru-baru ini membantu kempen dana bantuan Gaza di Birmingham.

Jalur pergelangan tangannya sempat ditunjukkan selama 42 minit semasa dia membuat 12 larian daripada 28 balingan sebelum jalur pergelangan tangannya dikesan.

Lembaga Kriket England (ECB) dan Lembaga Kriket Wales (WCB) pada Isnin menegaskan mereka tidak ada masalah dengan apa yang dilakukan oleh Moeen.

"Setakat yang kami tahu, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata jurucakap ECB dan menambah terpulang kepada ICC untuk memutuskan tindakan kepada Moeen sekiranya perlu.

Sementara itu, beberapa pemain kriket menyatakan sokongan kepada Moeen melalui Twitter termasuk sepupunya, bekas pemain England, Kabir Ali.




Isu Moeen ini menyamai apa yang dialami oleh pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang memakai sarung tangan dengan mesej "Save Gaza" di Sukan Komanwel di Glasgow minggu lalu.

Azizulhasni yang diberikan amaran menegaskan ia bukan mesej politik tetapi kemanusiaan. Dia bagaimanapun meminta maaf.