Semua pemain hoki negara perlu memanfaatkan peluang dan membukti keupayaan mereka setanding dengan tonggak utama seperti Faizal Shaari, Azlan Misron dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang kini tiada dalam skuad kebangsaan.

Ketua Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen berkata 40 pemain negara yang dipanggil menjalani latihan perlu menyahut cabaran untuk diserapkan dalam barisan utama pemain sebelum menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah pada April ini.

"Pada Februari, kita akan membuat pemilihan. Hanya 25 pemain sahaja akan dipilih (untuk Piala Sultan Azlan Shah). Bagi pemain yang tidak dapat slot kami akan tubuhkan satu pasukan.

"Jadi sangat penting untuk 40 pemain yang dipanggil ini merebut peluang untuk disenaraikan dalam 25 pemain terbaik," katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, pada Rabu.

Sebanyak 38 pemain daripada 40 pemain menjalani latihan pertama mereka hari ini, manakala Mohd Shahrun Nabil Abdullah dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan mendapat pelepasan daripada menjalani latihan hari ini kerana perlu menyelesaikan hal peribadi.

Menurut Van Huizen, pasukan kebangsaan perlu bersedia dengan transisi baharu bagi persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2017.

"Kita bukan kehilangan Faizal sahaja, tetapi juga Azlan dan Tengku (Ahmad Tajuddin). Inilah peluang yang perlu dimanfaatkan oleh semua pemain.

Faizal kini tiada dalam program kita selama enam bulan tetapi peluangnya selepas ini masih terbuka. Beliau perlu menjalani latihan dan meningkatkan prestasinya sendiri terutamanya ketika beraksi pada Piala Razak tahun ini," katanya.

Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal dikenakan penggantungan enam bulan daripada skuad kebangsaan ekoran masalah disiplin.

Sementara Azlan telah bersara daripada skuad kebangsaan manakala Tengku Ahmad Tajuddin tidak disenaraikan.