KUALA LUMPUR: Pelari pecut pelapis dari Sabah, Pengiran Aidil Auf Hajam mencipta sensasi apabila berjaya memenangi pingat emas acara 200 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu merekodkan 21.54 saat (s) serta menewaskan peserta senior termasuk bekas pemegang rekod kebangsaan acara itu, Khairul Hafiz Jantan yang menamatkan saingan di tangga tercorot.

Khairul Hafiz atau dikenali sebagai 'The Speedy Jantan' pernah mencatatkan rekod kebangsaan bagi acara itu (20.90s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

"Syukur alhamdulillah dengan larian tadi sebab saya mampu bersaing dengan abang-abang senior dalam larian pecut 200m dan banyak perkara yang saya dapat pelajari dari larian tadi.

"Mungkin umur saya masih muda tapi itu cuma sekadar angka. Saya akan cuba usaha lebih keras untuk perlumbaan yang akan datang," katanya kepada pemberita pada kejohanan itu.

Wakil Angkatan Tentera Malaysia, Jonathan Nyepa meraih kedudukan kedua dengan catatan masa 21.67s manakala Kwong Kar Jun dari Kuala Lumpur di tempat ketiga (21.89s).

Sementara itu, pemenang pingat perak 200m wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Zaidatul Husniah Zulkifli yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia merangkul pingat emas dalam acara sama bagi kategori wanita dengan catatan 24.38s.

Atlet berusia 29 tahun dari Alor Setar, Kedah itu berkata pencapaian tersebut adalah hasil kerja kerasnya dan merupakan peningkatan berbanding 24.50s yang direkodkan sebelum ini.

"Walaupun saya berjaya merekodkan 24.38s, sebenarnya tidak lepas kelayakan ke Sukan SEA Kemboja sebab untuk ke sana perlu bawah 24.00s. Namun, saya menyerahkan kepada pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan siapa yang layak untuk dihantar," katanya.

Terdahulu, rakan sepasukannya S.Komalam Shally (25.02s) dan Siti Fatimah Mohamad (25.36s) masing-masing meraih perak dan gangsa.

-- BERNAMA