Gandingan negara bermula goyah apabila tewas 19-21, sebelum bangkit untuk menang 21-17 sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan.
Perlawanan set ketiga menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum pasangan negara di ranking ketujuh dunia itu mengesahkan kemenangan 21-15.
Pearly-Thinaah akan berdepan pemenang perlawanan antara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan dan Julie Macpherson-Ciara Torrance dari Scotland.
Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao apabila terpaksa pulang awal selepas tunduk kepada Jonatan Christie 21-16, 21-14.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara yang baru merangkul gelaran Terbuka Artik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani ditunjukkan jalan keluar lebih awal oleh wakil Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
Dalam saingan selama 32 minit itu, pasangan negara tewas 13-21, 13-21.
"Lawan kami bermain lebih baik hari ini," menurut Sze Fei menerusi rakaman audio dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.
Sementara itu, Nur Izzuddin berkata kepenatan selepas aksi di Finland minggu lepas bukan menjadi punca kekalahan mereka kepada pasangan Thailand semalam.
"Kepenatan bukan alasan kekalahan hari ini. Sebenarnya itu bermaksud kami perlu memperbaiki terutama dari segi fizikal dan mental," katanya.
Dalam aksi beregu campuran pula, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melepasi halangan pusingan pertama selepas mengetepikan Ethan Van Luuwen-Chloe Birch dari England 21-7, 21-14.
Pasangan profesional negara itu akan berdepan sama ada pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun atau Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand yang beraksi dalam satu lagi perlawanan.
-- BERNAMA