Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang berlangsung di sini.

Dalam perlawanan sengit selama lebih 33 minit, pasangan itu mengakhiri cabaran beregu Tan Boon Heong pemain Malaysia yang berpasangan dengan pemain Indonesia Hendra Setiawan 21-19, 21-18 pada pusingan kedua hari ini.

V Shem dan Wee Kiong dijangka bertemu sama ada beregu Indonesia Hardianto Hardianto-Berry Angriawan atau pasangan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, esok.

Tiga lagi perlawanan akan berlangsung melibatkan Zulfadli Zulkiffli, juara remaja dunia 2011 yang melangkah ke pusingan kedua perseorangan lelaki untuk beraksi menentang pemain Hong Kong, Vincent Wong.

Pasangan beregu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula akan berdepan dengan beregu dari Hong Kong, Tam Chun Hei-Ng Tsz Yau.

Perlawanan terakhir melibatkan pasukan negara hari ini menyaksikan pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, satu lagi pasangan beregu lelaki, akan bertemu pasangan beregu nombor satu dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen.

Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang berlangsung selama enam hari bemula 11 April di Stadium Tertutup Singapura, menawarkan hadiah berjumlah US$350,000 (US$1=RM4.431).

-- BERNAMA