Liek Hou yang turun dengan misi mempertahankan emas acara tersebut dan Muhammad Fareez tiada jalan lain selain perlu mencipta kemenangan ke atas lawan masing-masing bagi menjamin tempat ke separuh akhir lebih awal dalam aksi kedua kumpulan di Porte de la Chapelle Arena.
Liek Hou akan meneruskan saingan Kumpulan A menentang pemain tuan rumah, Meril Loquette, hari ini selepas mudah membenam pemain Poland Bartlomiej Mroz 21-10, 21-6 dalam masa 26 minit pada aksi pembukaan semalam.
Kejutan dilakar Muhammad Fareez ke atas pilihan kedua, Fang Jen-Yu dari Taiwan, 21-14, 21- 18 mampu menjadi tonik berharga buatnya meneruskan rentak cemerlangnya dengan berdepan pemain ketiga dunia dari Indonesia Dheva Anrimusthi dalam perlawanan Kumpulan B.
Bagaimanapun, hanya kemenangan oleh pemain perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) Mohd Amin Burhanuddin dan Noor Azwan Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli yang beraksi dalam acara beregu lelaki WH1-2 (kecacatan fizikal) ke atas lawan masing-masing hari ini menghidupkan peluang mereka ke separuh akhir.
Mohd Amin bermula dengan langkah kiri apabila tewas 17-21, 21-15, 22-20 di tangan pemain India, Sukant Kadam dalam perlawanan Kumpulan B manakala Noor Azwan-Muhammad Ikhwan pula tumbang kepada pasangan Jepun Daiki Kajiwara-Hiroshi Murayama 17-21, 21-13, 21-16 dalam pertemuan Kumpulan B.
Dalam pada itu, jaguh berbasikal para kebangsaan, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin gagal menepati sasaran sekurang-kurangnya mara ke final selepas terkandas di pusingan kelayakan acara 3,000 meter (m) kejar-mengejar individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) dengan menduduki tempat kelima menerusi catatan 3 minit 55.254 saat (s).
Biarpun tidak berjaya ke final namun Yusof Hafizi tetap berpuas hati melepasi catatan masa peribadi terbaik 4:01.314s yang pernah dilakukan sebelum ini pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil.
Dua pemanah negara pula menampilkan aksi positif apabila mereka yang diwakili juara memanah para dunia 2019 S. Suresh bagi acara recurve individu lelaki terbuka dan compound individu wanita terbuka Nur Jannaton Abdul Jalil melakukan catatan peribadi terbaik dalam pusingan ranking di Invalides.
Suresh menamatkan saingan di tempat ke-12 dengan 625 mata dan Nur Jannaton pula menduduki tempat ke-24 (649 mata) namun angin kuat menjejaskan rentak persembahan G. Daneshen yang menamatkan kedudukan di tempat ke-31 daripada 32 pemanah menerusi 666 mata pada bagi acara compound individu lelaki terbuka.
Saingan boccia di South Paris Arena 1 pula menyaksikan pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 Noor Askuzaimey Mat Salim muncul wakil tunggal negara mencatatkan kemenangan dengan menewaskan wakil Ukraine Nataliia Konenko 8-6 dalam acara individu wanita BC4 (kecacatan fizikal) Kumpulan C.
Pemenang pingat perak Sukan Para Asia Hangzhou 2022 Lee Chee Hoong yang beraksi dalam Kumpulan E individu lelaki BC2 pula dibelasah 2-11 oleh Muhammad Bintang Herlangga dari Indonesia manakala Abdul Razzaq Abdul Rahman menerima nasib sama, tewas besar di tangan wakil Great Britain, Stephen McGuire, 0-8 ketika aksi Kumpulan C dalam acara individu lelaki BC4.
-- BERNAMA