Ringkasan AI
- Pemilihan atlet Paralimpik Paris 2024 berdasarkan prestasi untuk memastikan peluang meraih pingat emas.
- Pemilihan dilakukan bersama oleh MPM, MSN, ISN, dan persatuan sukan dengan analisis prestasi atlet.
- Keputusan pemilihan akan diumumkan pada Khamis ini selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan.
Beliau berkata pemilihan itu berasaskan analisis yang dilakukan ke atas atlet dan diputuskan secara bersama antara MPM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan terlibat.
"Jawatankuasa pemilihan akan bersidang pada Khamis ini, dipengerusikan MPM bersama ISN, persatuan dan MSN. Persatuan akan cadang calon atlet, MSN beri penilaian dari segi prestasi dan ISN pula akan lihat atlet cergas atau tidak, dan MPM akan sokong keputusan itu.
"Segala keputusan pemilihan dan acara yang ditandingi akan diketahui Khamis ini. Kita memang ada jawatankuasa pemilihan atlet sebagaimana disyorkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bagi memastikan proses pemilihan telus dan tiada orang mempertikaikan," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu kelayakan seorang atlet para renang yang digugurkan daripada menyertai kem negara ke temasya sukan berprestij itu.
Terdahulu, ketika menghubungi Bernama, Walter Lee, bapa kepada atlet renang para negara Zy Kher Lee mempersoalkan status anaknya yang tidak terpilih mewakili Malaysia ke Paralimpik Paris 2024 dan menyifatkan atlet berusia 17 tahun itu layak menyertai temasya tersebut.
Malaysia mempunyai dua slot bagi sukan para renang ke temasya sukan empat tahun sekali itu dan dua atlet negara yang dijangka beraksi ialah Muhammad Nur Syaiful Zulkafli serta Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan.
Mengulas mengenai perkara itu, Subramaniam berkata Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) telah memohon satu lagi slot untuk Zy, namun permohonan itu ditolak IPC.
"Kita pilih Syaiful dan Aiman, isunya sekarang ialah antara Aiman dan Zy. Mereka bertanding dalam satu acara 100meter lelaki kuak lentang S14 dan mengikut penelitian Aiman mempunyai peluang terbaik untuk menyumbang pingat.
"Walaupun Zy masuk tiga lagi acara lain, peluang untuk acara itu dapat pingat tidak begitu cerah. Jadi, jika kita nak hantar pasukan mesti untuk menang pingat dan memilih yang memiliki potensi untuk meraihnya," katanya.
-- BERNAMA