Suasana di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi bergema dengan sorakan peminat sukan tanah air apabila menerima ketibaan wira dan wirawati paralimpik negara yang pulang dari temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil hari ini.
Kontinjen negara terdiri daripada 21 atlet yang diketuai ketua kontinjen Dr Ang Kean Koo disambut dengan 'water salute' sejurus pesawat EK0346 dari Dubai yang dinaiki mereka selamat mendarat di KLIA kira-kira 3.14 petang.
Kumpulan atlet paralimpik negara itu kemudian dibawa menaiki dua bas khas dengan diiringi lima kenderaan membawa Jalur Gemilang menuju ke Kompleks Bunga Raya.
BACA: LAPOR LANGSUNG 'Selamat kembali, wira Paralimpik negara'
Tiga pemenang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 serta pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20, turut berada di dalam pesawat berkenaan.
Ketibaan kontinjen disambut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM SM Nasaruddin SM Nasimuddin sebelum dibawa ke pentas utama Kompleks Bunga Raya untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Anggota keluarga Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif turut hadir dari Perlis dengan menaiki bas yang disewa khas, juga disertai anggota keluarga Siti Radiah dari Segamat, Johor dan anggota keluarga Muhammad Ziyad dari Gombak.
Suasana riuh rendah dan meriah di Kompleks Bunga Raya kemudiannya berubah menjadi sayu sebaik sahaja ibu bapa dan anggota keluarga kepada pemenang pingat negara kelihatan menangis sambil memeluk anak-anak 'luar biasa' mereka.
Terdahulu, lobi Kompleks Bunga Raya dipenuhi kira-kira 1,000 peminat dan anggota keluarga serta atlet pelapis sejak 12 tengah hari yang tidak sabar menunggu kepulangan wira dan wirawati negara itu.
Suasana di Kompleks Bunga Raya riuh rendah dengan sorakan peminat serta nyanyian lagu-lagu patriotik dan Negaraku sementara menunggu ketibaan pesawat yang membawa atlet negara.
Selain itu, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik Rio, Mohd Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong turut bersama-sama menyambut ketibaan rakan atlet mereka.
Kontinjen negara kemudiannya akan dibawa berarak sekitar ibu kota Kuala Lumpur dengan menaiki bas hop-on-hop-off sejurus selesai sambutan di Kompleks Bunga Raya dan dibawa ke Dewan Filharmonik, KLCC, Pavillion sebelum berakhir di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan.
Kontinjen paralimpik negara meraih pencapaian terbaik pada penampilan di Rio kali ini dengan pencapaian tiga pingat emas dan satu gangsa, sekali gus menamatkan cabaran di temasya berprestij itu pada kedudukan ke-36.
Untuk rekod, Malaysia mula menyertai Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman dengan hanya melibatkan tiga atlet sahaja, namun untuk tiga temasya berikutnya tiada atlet negara yang terlibat.
Kontinjen negara kembali menyertai temasya itu pada 1988 di Seoul, Korea Selatan dan berjaya memenangi pingat pertama menerusi P. Mariappan dalam acara powerlifting yang meraih pingat gangsa.
Pada temasya di Barcelona 1992, kontinjen Malaysia memperbaiki pungutan pingat dengan satu pingat perak melalui Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting dan dua gangsa masing-masing oleh Mariappan (powerlifting) dan Mohd Khasseri Othman (olahraga).
Pada edisi ke-13 di Beijing, China pada 2008, atlet powerlifting, Siow Lee Chan mencatat sejarah negara dengan muncul atlet wanita pertama memenangi pingat di temasya itu. Pingat gangsa itu adalah satu-satunya pingat kontinjen Malaysia di Beijing.
Di London pada 2012, kontinjen negara meraih satu pingat perak melalui Hasihin Sanawi dalam acara memanah recurve dan satu pingat gangsa melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dalam olahraga (lontar peluru). -- BERNAMA
Bernama
Thu Sep 22 2016

Mohd Ziyad, Mohamad Riduan, Abdul Latif dan Siti Noor Radiah tersenyum bangga menaiki bas sejurus turun pesawat Emirates EK 0346 yang membawa atlet Paralimpik Malaysia yang telah meraih pingat emas dan gangsa di Rio 2016 di KLIA. - Astro AWANI / Sha

BN atur gerak kerja awal hadapi PRK
Saarani berkata jentera parti tidak akan menunggu pengumuman tarikh SPR dan akan segera memulakan aktiviti ke arah memenangi PRK tersebut.
Jenazah ADUN Ayer Kuning selamat dikebumikan
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh pada 10.40 pagi ini
[TERKINI] SPRM tahan empat pegawai ada kaitan PM ke-9
SPRM menahan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ke-9 dan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Putrajaya.

SPRM tahan 4 pegawai ada kaitan Perdana Menteri ke-9
Sumber rapat SPRM memaklumkan keempat-empat mereka telah mendapat perintah reman di Mahkamah Putrajaya.
Dividen KWSP dijangka lebih baik bagi tahun 2024 - Amir Hamzah
Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya
Guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher, lengan
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pengadu yang merupakan suami kepada wanita itu, membuat laporan polis berkenaan kejadian itu kira-kira 5.30 petang.
Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning dihantar seawal Selasa - Speaker
Speaker DUN Perak akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning seawal Selasa
Yellow House rasmi pembukaan premis baharu
Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Yellow House merasmikan pembukaan premisnya yang dinaik taraf di Kampung Ampang Campuran pada Sabtu.
Polis ditembak mati lelaki bersenjata di Amerika syarikat
Tindakan suspek dipercayai berpunca daripada tindak balas mangsa yang cuba mententeramkan suspek yang sebelum itu menjadikan beberapa kakitangan sebagai tebusan di sebuah hospital.
China kesan satu lagi varian baharu koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.

Paralimpik 2016: Wira negara selamat tiba
Suasana di Kompleks Bunga Raya, KLIA sekali lagi bergema dengan sorakan peminat sukan tanah air apabila menerima ketibaan wira dan wirawati paralimpik negara.

Paralimpik Rio 2016: Penat lelah, usaha gigih mereka terbalas - CDM
Ketua kontinjen negara ke Suka PParalimpik 2016, Dr Ang Kean Koo melahirkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian dua atlet olahraga yang berjaya merealisasikan impian negara untuk meraih emas.