Ringkasan AI
- Muhammad Afnan Azhar bertekad memburu tiga pingat emas dalam penampilan ketiganya di Para Sukma, setelah sebelum ini meraih dua emas pada edisi 2018 dan 2022.
- Atlet berusia 25 tahun ini menumpukan sepenuh masa untuk latihan intensif, dengan harapan dapat memecahkan rekod kebangsaan dalam acara yang disertainya.
- Jurulatih RD Lawrence optimis bahawa Muhammad Afnan dan skuad pecut Perak mampu meraih 11 pingat emas berdasarkan prestasi mereka dan analisis pencabar dari negeri lain.
Muhammad Afnan, yang juga merupakan pelakon kerdil sambilan, berkata bahawa pada edisi sebelumnya di Perak dan Kuala Lumpur pada tahun 2018 dan 2022, beliau hanya membawa pulang dua pingat emas. Namun, kali ini atlet berusia 25 tahun itu bertekad untuk meraih tiga emas dalam ketiga-tiga acara yang disertainya.
Katanya, beliau berhenti bekerja sambilan sebagai pelakon buat sementara waktu demi memberi fokus pada latihan dan berharap dapat memecahkan rekod kebangsaan pada temasya sukan yang berlangsung di Bumi Kenyalang ini.
"Kali ini, saya sudah berusaha sehabis baik untuk memburu emas hatrik ini. Saya menjalani latihan pagi dan petang, tujuh hari seminggu tanpa cuti. Saya jogging dan hiking, jadi saya sangat berharap dapat mencapai impian ini.
"Pencabar lain yang sukar sudah pasti datang dari Sarawak, Sabah, dan Kelantan, tetapi saya yakin dapat mengatasi mereka untuk meraih pingat emas," katanya kepada Bernama pada sesi latihan skuad olahraga Perak di Stadium Sarawak hari ini.
Pada edisi 2018 di Perak, Muhammad Afnan yang beraksi bagi kategori F40 (kecacatan fizikal) memperoleh pingat emas dalam acara rejam lembing dan lontar peluru, selain meraih pingat perak dalam acara lempar cakera.
Bagi edisi 2022 di Kuala Lumpur, atlet kelahiran Alor Setar, Kedah itu meraih dua pingat emas, masing-masing dalam acara rejam lembing dan lempar cakera, manakala dalam lontar peluru, beliau sekadar meraih pingat perak.
Sementara itu, jurulatih skuad olahraga Perak RD Lawrence, turut optimis bahawa Muhammad Afnan mampu mencapai misi meraih emas hatrik pada edisi kali ini selepas mengkaji prestasi pencabar negeri lain yang akan beraksi di Para Sukma Sarawak.
Beliau yang juga pengendali bagi skuad pecut Perak turut yakin pasukannya itu mampu membutirkan 11 pingat emas menerusi acara pecut.
"Saya sasarkan 11 pingat emas ini berdasarkan prestasi mereka yang raih emas pada edisi tahun lalu selain saya memang kaji kemampuan pencabar lain. Saya sasarkan Muhammad Fitri Abdullah boleh dapat tiga emas acara pecut dan lompat jauh, Noraini Mohd Shukri dua emas acara pecut.
"Muhammad Faiz Haikal Rushi tiga emas acara pecut. Selain itu Muhammad Ashraf Hisham juga pecut tiga emas juga, selain Muhammad Afnan juga ada potensi tiga pingat emas," katanya.
Beliau berkata anak-anak didiknya itu telah menjalani latihan intensif sejak tahun lalu.
-- BERNAMA