KUCHING: Atlet yang bakal menyertai Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 diharap dapat menjadikan kekurangan mereka sebagai pemangkin meraih kecemerlangan pada temasya itu yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata setiap atlet perlu diberikan dorongan serta semangat agar dapat memberikan persembahan terbaik.

"Bagi setiap atlet Orang Kurang Upaya (OKU), mereka hendaklah memanfaatkan bakat yang ada supaya masyarakat dapat melihat melebihi keupayaan fizikal.

"Keupayaan istimewa ini harus ditonjolkan dan dijadikan pendorong untuk memburu kejuaraan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semalam.

Terdahulu Fatimah menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM TV1.

Sebanyak 10 jenis sukan melibatkan 334 acara akan dipertandingkan pada Para SUKMA kali ini yang dijangka disertai 2,470 atlet dan pegawai.

-- BERNAMA