Dua penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, pada Selasa.

Dalam saingan separuh akhir di Duna Arena yang melibatkan 18 peserta itu, Jun Hoong mengumpul 325.50 mata untuk berada di kedudukan ketujuh manakala Pandelela di tempat kelapan dengan 322.75 mata.

Saingan peringkat separuh akhir itu diungguli dua peserta dari China, Si Yajie dan Ren Qian selepas masing-masing mengumpul 382.80 dan 367.50 mata.

Sementara tempat ketiga ialah Kim Kuk Hyang dari Korea Utara dengan 360.85 mata.

Peringkat akhir acara 10m platform individu wanita itu akan berlangsung hari ini (Rabu) dan melibatkan seramai 12 peserta.

-- BERNAMA